Kerajaan negeri peruntukan RM1.5 juta untuk Program Jiwa Murni di Gedong

Abang Johari (tiga dari kanan) dan Zamrose (kanan) pada lawatan ke booth pameran Hari Tentera Darat di Dataran Gedong.

GEDONG, 10 Mac: Projek Jiwa Murni di Gedong menyenaraikan sebanyak 17 projek dengan peruntukan RM1.5 juta daripada Kerajaan Negeri.

Menurut Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain, ia dilaksanakan menerusi dua fasa dan dijangka siap pada Jun 2021.

“Ia melibatkan kerja-kerja baik pulih 17 buah rumah penduduk, pembinaan lima buah titi, pembinaan infrastruktur tanah perkuburan Islam Gedong dan senggaraan Masjid Al-Kawthar Gedong.


“Bagi menjayakan projek ini, Tentera Darat telah menyediakan tenaga kerja dan kepakaran, manakala kerajaan negeri pula menyediakan peruntukan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Jiwa Murni bersempena Hari Tentera Darat Ke-88 di Dewan Masyarakat Gedong hari ini.

Majlis telah dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Tambah Zamrose, projek tersebut melibatkan kerjasama Tentera Darat dan Kerajaan Negeri untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.

Fasa 1 projek bermula 28 Februari 2021 hingga 15 April 2021 yang melibatkan kerja-kerja baik pulih 12 buah rumah, kerja baik pulih tiga buah titi, senggaraan Masjid Al-Kawthar dan kerja-kerja senggaraan tanah perkuburan Islam Gedong.

Manakala Fasa 2 bermula 16 April 2021 hingga 14 Jun 2021 melibatkan kerja-kerja baik pulih lima buah rumah dan baik pulih dua buah titi. — DayakDaily