Pengundi di Ba’kelalan perlu kekal setia dengan BN

Awang Tengah (empat dari kiri) tiba di Kampung Buduk Nur di Ba'kelalan.

BA’ KELALAN, Mei 8: Masyarakat setempat khususnya pengundi di Ba’kelalan perlu bersama merebut peluang yang ada di hadapan mereka dengan bersama kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengundi setempat harus memastikan calon BN bagi Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong mendapat mandat besar daripada rakyat di kawasan berkenaan.

Katanya, Henry Sum adalah calon terbaik kerana beliau tidak melihat warna kulit mahupun latar belakang rakyat dalam memberikan khidmatnya.


“Ini terbukti apabila beliau mendapat lebih 90 peratus undi daripada masyarakat Melayu dan Islam di Lawas.

“Malah, ada kawasan yang memberikan undian 100 peratus kepada Henry Sum pada PRU13 lalu,” katanya semasa mengadakan lawatan ke Kampung Buduk Nur di sini semalam.

Awang Tengah menambah, masyarakat Lun Bawang juga harus terus memberikan sokongan padu kepada Henry Sum yang juga merupakan anak jati Lun Bawang.

Jelas beliau, ia penting dalam menjadi jambatan perhubungan dengan kerajaan persekutuan bagi menambah lebih banyak program pembangunan di bawa ke negeri Sarawak dan Parlimen Lawas khususnya.

“Hati saya sedih apabila mengenangkan penduduk di Ba’kelalan kehilangan sejumlah RM40 juta untuk projek RTP dan peruntukan MRP berjumlah RM8 juta setahun bagi tempoh lima tahun.

“Ini kerana mereka mempunyai wakil rakyat yang bukan daripada kerajaan BN yang tidak mendapat peruntukan untuk rakyat tetapi mendapat elaun untuk diri sendiri sebagai wakil rakyat,” ujarnya lagi. — DayakDaily