Kerajaan memperuntukkan RM5 juta naik taraf Pos Kawalan Imigresen CIQS Tedungan

Kelihatan Awang Tengah (lima dari kiri) semasa lawatan ke Pos Kawalan Imigresen CIQS Tedungan.
Advertisement

KUCHING, 28 Jun: Kerajaan menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) memperuntukkan RM5 juta bagi menaik taraf Pos Kawalan Imigresen CIQS Tedungan ini.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, naik taraf ini dijangka siap pada bulan November tahun ini.

Katanya, ia meliputi kerja-kerja pendawaian semula, pemasangan penghawa dingin, dan membina surau dan tandas awam.

Advertisement

“Pendawaian yang lama itu perlu diganti kerana merbahaya dan kita tidak mahu perkara-perkara buruk berlaku di sini.

“Jadi kita telah pun memberikan keutamaan memandangkan mereka juga tidak mempunyai peruntukan.

“Pos Kawalan imigresen CIQS ini adalah pintu masuk dan peranannya begitu penting sekali,” kata Awang Tengah.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyerahkan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di Pos Kawalan Imigresen CIQS Tedungan, Limbang pada Jumaat (25 Jun).

Pos Kawalan Imigresen CIQS Tedungan merupakan pintu masuk utama bagi pengguna jalan darat dari Miri yang transit melalui negara Brunei.

Dalam pada itu, Awang Tengah juga telah mengarahkan Pengarah NRDA berbincang dengan Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) bagi memperbetulkan generator di pos kawalan imigresen tersebut.

Katanya, Jabatan Imigresen Bahagian Limbang memohon mendapatkan generator baru kerana generator sedia ada pada masa ini mempunyai banyak masalah.

“Saya telah pun mengarahkan Datu Ubaidilah (Datu Ubaidillah Abdul Latip) untuk berbincang dengan pihak Sarawak Energy tentang bagaimana untuk memperbetulkan generator tersebut dan jika perlu kita beli generator yang baru sahaja.

“Ini penting untuk mempastikan kakitangan yang bertugas di sini selesa dan selamat memandangkan ia merupakan pintu masuk untuk kita di Limbang melalui jalan darat,” katanya.

Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga Adun Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Adun Batu Danau Palu Paulus Gumbang. — DayakDaily

Advertisement