Kerajaan memperuntukkan RM1 juta naik taraf jalan pertanian BRS

Mongin (empat dari kanan) menyerahkan dokumen kontrak kepada wakil kontraktor.

KUCHING, 27 Mac: Kerajaan memperuntukkan RM1 juta untuk projek menaik taraf jalan pertanian Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) sepanjang 2.5km.

Menurut Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin, fasa pertama projek berkenaan yang menelan kos RM500,000 telahpun disiapkan pada November tahun lalu.

Bertempat di Dewan BRS semalam, beliau menyempurnakan penyerahan kontrak untuk fasa kedua projek berkenaan kepada syarikat kontraktor, yang juga menelan kos RM500,000.


Katanya, projek di bawah Projek Jalan Perhubungan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu dijadualkan siap sepenuhnya dalam masa tiga bulan.

“Projek ini memberi manfaat kepada penduduk di empat buah kampung di BRS, iaitu Kampung Taba Sait, Semban, Pain-Bojong dan Rejoi untuk ke kebun masing-masing,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berasingan merasmikan Jambatan Nyien dan Jalan Majerin di Kampung Patung di sini, beliau berkata komitmen ketua masyarakat dan ketua kaum bersama-sama wakil rakyat serta kerajaan amat penting dalam usaha membantu rakyat dalam pelbagai aspek.

Katanya, ketua masyatakat dan ketua kampung dapat melihat secara dekat setiap permasalahan di dalam kampung masing-masing.

Berkenaan Jambatan Nyien, beliau berharap kemudahan yang disalurkan melalui Projek Mesra Rakyat (PMR) berkenaan akan dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Di majlis itu beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk tabung Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Patung, RM30,000 kepada Biro Wanita kampung tersebut serta menyerahkan sumbangan untuk 13 pesakit kronik serta orang kurang upaya (OKU). — DayakDaily