Kekalkan Tapak Megah sebagai lokasi asal bina CIQ di Kapit, kata Abun Sui

Abun Sui Anyit

KUCHING, 28 Mac: Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Cabang Hulu Rajang mahu kerajaan Sarawak untuk bertegas menjadikan Tapak Megah sebagai lokasi asal bagi tapak Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) baharu di Sarawak

Ketua Cabang Keadilan Hulu Rajang, Abun Sui Anyit beerkata khabar angin kerajaan persekutuan mahu menggantikan tapak tersebut dengan satu tapak di Long Singut, Baleh memberikan kebimbangan kepada penduduk di Belaga walaupun kedua-dua lokasi tersebut terletak di Bahagian Kapit.

Katanya, pemilihan Tapak Megah sebelum merupakan satu berita gembira bagi penduduk Sarawak terutamanya dari Belaga sekiranya pembinaan CIQ tersebut akan menjadi realiti.


“Laluan dari Tapak Megah telah lama wujud dimana sebelah Indonesia (Kalimantan Barat) telah lebih lengkap berbanding dengan di sebelah Sarawak.

“Walaupun laluan ini telah lama wujud, Keadilan Hulu Rajang dimaklumkan bahawa belum ada kemudahan seperti CIQ di tempat tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Abun, perkembangan terbaharu itu pastinya membimbangkan penduduk Balaga yang telah lama menantikan kewujudan CIQ terbabit di Tapak Megah.

“Penduduk Belaga risau dengan perkembangan ini kerana suatu ketika dahulu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakun pernah dibina di bandar Kapit menyebabkan penduduk Belaga tidak senang dan telah menyuarakan ketidakpuasan mereka.

“Situasi itu lalu menjurus kepada kerajaan terpaksa membina SMK Bakun di Sungai Asap, Belaga,” katanya.

Tegas Abun, penduduk Belaga tidak mahu kejadian serupa juga berlaku kepada projek pembinaan CIQ yang pada asalnya mahu dibina dikawasan terbabit ditukar lokasinya ke tempat lain.

“Penduduk Belaga tidak mahu pisang berbuah dua kali di mana Tapak Megah yang lebih awal dikenal pasti akan tiba-tiba digantikan dengan Long Singut,” katanya. — DayakDaily