Kerajaan lancar sistem pangkalan data usahawan Sarawak

Awang Tengah (empat dari kanan) melancarkan sistem pangkalan data usahawan Sarawak atau ENBASE di Kuching.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Okt: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan hari ini melancarkan sistem pangkalan data usahawan Sarawak atau lebih dikenali sebagai ENBASE.

Menurut Awang Tengah, ENBASE berfungsi sebagai ‘one-stop platform’ yang berupaya untuk menjana analisis dan laporan untuk Kerajaan Sarawak.

Advertisement

Katanya, sistem tersebut membuat perancangan dan penelitian holistik berdasarkan keperluan sebenar ekosistem keusahawanan di Sarawak.

“Menerusi ENBASE, Kerajaan Sarawak juga akan dapat memastikan program khusus seperti bantuan kewangan, pembangunan kapasiti dan promosi produk sampai kepada golongan sasar yang tepat.

“Ini termasuklah golongan luar bandar,” katanya pada sidang media selesai Mesyuarat Jawatankuasa Induk ‘Sarawak Enterepreneur Development Coordination Committee’ (SEDCC) di sini, hari ini.

Jawatankuasa ini bertujuan untuk meneliti serta menentukan dasar pembangunan dan mengkordinasi perancangan serta pelaksanaan program dan projek keusahawanan di Sarawak.

Dalam pada itu Awang Tengah memaklumkan Kementerian Kewangan (MOF) telah memberi kelulusan untuk meneruskan Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) Fasa 2 di Sabah dan Sarawak Tahun 2024 melalui peruntukan secara ‘one-off’ sebanyak RM10 juta.

Bagi Fasa 2, katanya, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) masih dalam proses mengenalpasti kesesuaian lokasi-lokasi Projek Tamu Desa. — DayakDaily

Advertisement