Kerajaan GPS digesa selaraskan Perintah Ordinan Darurat 2021 dengan Perlembagaan Negeri

Abun Sui Anyit

KUCHING, 16 Mei: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa Kerajaan Negeri bertindak selaras dengan undang–undang Perlembagaan Negeri Sarawak yang mana dalam keadaan norma biasa, DUN Sarawak terbubar pada 6 Jun, 2021.

Ketua Penerangannya Abun Sui Anyit berkata, pembayaran gaji menteri-menteri negeri dan para wakil rakyat sepatutnya terhenti pada tarikh tersebut.

“Ini penting untuk menjaga maruah dan moral mereka kerana Ketua Menteri Sarawak adalah pemegang kunci ke atas semua tindakan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“PKR Sarawak berharap agar GPS tidak memanipulasikan keadaan darurat dan Ordinan Darurat 2021 untuk keuntungan GPS atau mempunyai niat lain yang bercanggah dengan perjalanan Perlembagaan Negeri Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abun, penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tidak wajar terus dilanjutkan melepasi tarikh 6 Jun.

Justeru katanya, Yang di-Pertuan Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sewajarnya memohon perkenan dan kebijaksanaan Agong sama ada membubarkan DUN pada tarikh tersebut selaras dengan jadual Perlembagaan Negeri Sarawak.

“PKR Sarawak menggesa kerajaan GPS bertindak sesuai dengan keperluan demi rakyat Sarawak atau perlu meletak “Sarawak First” dalam menghadapi pandemik Covid-19 seperti yang dilaung-laungkan.

“Mereka hendaklah tidak memanipulasi Ordinan Darurat 2021 untuk melanjutkan kuasa yang sepatutnya terhenti pada 6 Jun 2021 kerana mereka masih boleh mentadbir sebagai “Caretaker Government”.

“Sebagai “Caretaker Government”,  GPS digesa untuk melibatkan semua pihak termasuk pembangkang agar tiada unsur-unsur penyalahgunaan kuasa dan perlu adanya semak dan imbang pada masa tersebut,” ujar Abun.

Semalam, GPS menerusi Setiausaha Agungnya Dato Sri Alexander Nanta Linggi memaklumkan bahawa pembubaran DUN Sarawak akan ditetapkan pada satu tarikh  yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. — DayakDaily