Kerajaan GPS akan bina Jalan Marudi ke Long Terawan sepanjang 70km

Kelihatan Abang Johari (memakai baju warna coklat muda) di Majlis Negereng Jihe’ Uma Maring di Rumah Temenggong Elizabeth Deng di Long Lapot, Baram.

KUCHING, 31 Okt: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan membina jalan sepanjang lebih 70km dari Marudi ke Long Terawan di Mulu dengan kos RM1 bilion.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan projek tersebut di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) akan memakan masa selama lima tahun.

“Ia sebenarnya dari Miri kerana sekarang kita sedang membina Jambatan Marudi.


“Dari Marudi, jalan ini akan terus ke Long Terawan sepanjang lebih 70km dan melalui beberapa rumah panjang dan kampung seperti Long Panai dan banyak lagi.

“Long Terawan adalah di luar taman negara di mana jalan ini akan menuju ke kawasan luar taman negara yang seterusnya dihubungkan dengan jalan yang sedang kita bangunkan di Lawas,” katanya.

Abang Johari berkata demikian kepada pemberita di Majlis Negereng Jihe’ Uma Maring di Rumah Temenggong Elizabeth Deng di Long Lapot, Baram hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, jalan tersebut akan menuju ke Gunung Buda di Lawas dan seterusnya ke Sabah.

“Bermakna kita akan ada jajaran jalan dari Miri terus ke kawasan Long Terawan sehingga ke Sabah,” katanya.

Siap kelak, tambah beliau, ia akan membuka banyak lagi kawasan untuk aktiviti pertanian dan merancakkan aktiviti pelancongan di sekitar Mulu dan Gunung Buda.

Pada majlis itu, Abang Johari turut mengagihkan bantuan berjumlah RM1.5 juta kepada Rumah Temenggong Elizabeth Deng untuk membiayai beberapa projek yang telah dirancang.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan ADUN Telang Usan Dennis Ngau. — DayakDaily