Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Gedong

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

GEDONG, 31 Okt: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Gedong-Serian hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa berusia 35 tahun itu semasa kejadian dikatakan menunggang motosikal seorang diri pada jam 12.30 tengah hari.

Katanya, mangsa dalam perjalanan dari arah rumahnya di Kampung Kanchong Baru, Hulu Gedong dan menghala ke Ranchan, Serian.


“Setiba di lokasi kemalangan, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang tepi jalan.

“Motosikal tercampak ke kawasan semak dan mangsa yang terbaring di atas jalan raya telah disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan Klinik Gedong,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, siasatan setakat ini tidak menemui sebarang kesan kenderaan lain yang berlanggar dengan mangsa.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily