Kerajaan BN Sarawak digesa mengeluarkan data statistik tanah


SRI AMAN, Okt 26: Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) meminta kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak untuk bertindak lebih proaktif berhubung isu tanah di negeri ini. Jelasnya, apa yang seharusnya dilakukan oleh Kabinet BN Sarawak adalah mengeluarkan data statistik pemilikan tanah di Sarawak.

“Sekiranya kerajaan BN negeri pimpinan Abang Jo (Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) serius dan ikhlas dalam menyelesaikan isu tanah NCR, mereka perlu mengeluarkan data statistik status tanah di negeri ini,” kata presiden parti Cobbold John melalui satu kenyataan hari ini.

Menurut nya, pihak umum sudah mengetahui bahawa tanah di Sarawak adalah hak milik kerajaan dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu “registered stateland” (tanah negeri di daftar) dan “unregistered stateland” (tanah negeri tidak di daftar). Tanah Hak Orang Asal (NCR) adalah dibawah “unregistered stateland”.


” ‘Unregistered stateland; ini yang menjadi isu apabila kerajaan memberikan PL (‘provisional lease’) kepada pihak syarikat atau individu tertentu menerusi Seksyen 28 Kanun Tanah Negeri,” jelas Cobbold.

Menurutnya lagi, pihak kerajaan BN Sarawak berkewajipan mengeluarkan statistik untuk pengetahuan umum. Beliau meminta agar KM dan kabinet negeri memberitahu rakyat Sarawak berapa keluasan tanah yang telah digazet sebagai “registered stateland”, “unregistered stateland”, PL yang telah diberikan, dan tanah yang telah diberikan geran individu dibawah Seksyen 18 dan syarikat-syarikat yang memegang pajakan berkenaan.

“Selain itu, pihak PBDSB juga ingin tahu status pemilikan tanah yang telah menjadi gunasama dibawah Seksyen 6”, ujar Cobbold.

Beliau berkata tiada alasan untuk BN gagal mengeluarkan statistik berkenaan melainkan ada pihak kerajaan ada sesuatu untuk disembunyikan. Katanya, Jabatan Tanah dan Ukur Negeri seharusnya memiliki data tersebut.

“Sepatutnya tak menjadi masalah. Lain lah jika ada pihak berkepentingan memiliki tanah yang perlu dilindungi. Kita rakyat Sarawak terutama nya kaum Bumiputera seperti orang Dayak, Melanau dan Melayu berhak mengetahui pekara ini,” kata Cobbold.

Beliau juga meminta kerajaan BN Sarawak mendedahkan dokumen asal berkaitan pembentukan Malaysia yang diperoleh di London untuk pengetahuan umum. Menurutnya, kemungkinan ada elemen penting berkaitan tanah NCR terkandung dalam dokumen berkenaan.

“Kita tengok dan lihat ketelusan kerajaan BN Sarawak nanti. Jangan pula kata under Akta Rahsia Rasmi (OSA)..susahlah,” kata Cobbold.

Mengenai perang mulut di antara beliau dan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian, beliau memberitahu pekara itu tidak perlu dipanjangkan kerana misi utama mereka adalah untuk menukar kerajaan BN. — DayakDaily