Oleh DayakDaily Team
KUCHING, 9 Okt: Keputusan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) membuka permohonan Pengambilan Khas Guru Sarawak kepada pemohon dari seluruh negara mengundang kekecewaan dari anak tempatan.
Menurut Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak (Perantis), anak-anak tempatan yang memiliki kelayakan menaruh harapan tinggi untuk mengisi jawatan berkenaan.
Selain menyifatkan ia satu tragedi, Perantis juga berkata keputusan tersebut turut mengundang kebencian dan kemarahan kepada seluruh rakyat Sarawak.
“Dengan keputusan ini juga kita dapat membayangkan bahawa kemelut kekurangan guru di Sarawak akan berlanjutan tanpa ada penyelesaian yang holistik dan komprehensif.
“Fundamentalnya akan menjejaskan kualiti pendidikan anak-anak Sarawak ke tahap yang lebih bermutu,” kata Perantis dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Perantis diwakili Penasihat Wellie Henry Majang, Presiden Persatuan Masyarakat Salako dan Rara Sarawak (Perasa) Robert Umping, Presiden Raban Semadak Borneo Brotherhood Jerry Robert, dan Presiden Persatuan Kebajikan Persaudaraan Sahabat Miri@Kaban Menyadi Thomas Ina.
Menurut kenyataan itu lagi, inisiatif itu sepatutnya bagi menangani kekurangan guru sekolah rendah dan menengah di Sarawak dengan mengutamakan graduan dari kalangan anak Sarawak.
Tegasnya, SPP harus menghormati wilayah Sarawak dalam usaha pengambilan khas guru di wilayah ini dengan membatalkan semua calon guru dari negeri lain dan mengekalkan hanya calon guru tempatan sahaja dipertimbangkan.
“Ada guru dari Semenanjung dihantar mengajar di kawasan luar bandar, memohon untuk dipindahkan ke sekolah lain di bandar ataupun di tempat asal kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan kawasan luar bandar.
“Warga tempatan yang berkhidmat dalam profesion perguruan lebih faham akan masalah, isu dan aspirasi masyarakat mereka,” kata Perantis.
Sementara itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada semalam memberitahu bahawa SPP sebelum ini ada membuat perjanjian, meyakinkan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn bahawa pengambilan baharu guru terlatih adalah dari Sarawak.
Kata Abang Johari, skim pengambilan khas guru itu adalah bagi mengisi kekosongan jawatan guru di Sarawak dengan mengkhusus kepada anak Sarawak sahaja tetapi SPP jelas tidak menunaikan janji. — DayakDaily