Keputusan PRK Tanjung Piai isyarat jelas kemarahan rakyat, kata Abdul Karim

Abdul Karim ketika ditemui pemberita hari ini (Nov 17, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Nov 17: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai semalam adalah bukti rakyat sangat marah dengan kerajaan pusat yang telah gagal melaksanakan janji-janji dalam manifesto.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata keputusan tersebut juga sebagai satu isyarat dari pengundi kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).


“Ini menunjukan satu perubahan di mana kerajaan pusat dapat melihat satu isyarat jelas dari pengundi-pengundi.

“Dari keputusan pilihanraya ini, saya melihat kaum Cina, India dan Melayu telah bersatu untuk tidak memilih kerajaan yang memerintah dan mereka mungkin sangat marah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian TEDxKenyalang 2019 di sini hari ini.

Pada Pilihanraya Umum Ke-14 lepas, tambah Abdul Karim, BN diwakili calon yang sama dan cuma kalah dengan jumlah 500 undi.

“Pada kali ini, beliau menang dengan majoriti 15,000 undi dan ini adalah jumlah yang besar yang berpuluh kali ganda,” ujar beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Menurut Abdul Karim lagi, Tanjung Piai adalah sebuah kawasan bandar juga pinggir bandar dimana 47 peratus daripada jumlah pengundi adalah dari kaum Cina.

Dan 80 peratus daripada pengundi Cina ini, katanya, memilih untuk tidak mengundi PH dimana pada 2 tahun yang lepas mereka bersama PH.

“Semestinya ada sesuatu yang menyakiti mereka dan ia adalah janji-janji dalam manifesto PH yang gagal ditunaikan,” tegas Abdul karim

Katanya lagi pemimpin PH sekarang sering bergaduh sesama sendiri dan isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat tidak diselesaikan.

Sebaliknya, tambah Abdul Karim, pemimpin PH ini mengambil jalan mudah dengan terus menyalahkan kerajaan terdahulu.

“Hutang negara sekarang bukannya semakin kurang tapi semakin bertambah. Kos sara hidup pula semakin meningkat dan pemimpin PH ini terus menyalahkan kerajaan terdahulu,” ujar Abdul Karim.

Pada PRK itu, calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Beliau memperoleh 25,466 undi untuk mengatasi lima pencabarnya.

Pesaing terdekatnya yang juga calon PH, Karmaine Sardini, memperoleh 10,380 undi, manakala calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wendy Subramaniam, mendapat 1,707 undi.

Tiga lagi calon, iaitu Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Dr Badhrulhisham Abdul Aziz meraih 850 undi, sementara calon bebas, Dr Ang Chuan Lock (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32 undi). — DayakDaily