Keputusan hapus BR1M tidak wajar kata Fatimah

Datuk Seri Fatimah Abdullah
Advertisement

KUCHING, Ogos 30: Keputusan kerajaan persekutuan untuk mengurangkan sebelum menghapuskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan alasan mempunyai unsur rasuah adalah tidak wajar.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kerajaan persekutuan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) tidak perlu menghapuskan BR1M kerana ia secara langsung membantu golongan miskin.

Jelasnya beliau, kerajaan persekutuan juga perlu meneliti semula kriteria penerima bantuan tersebut dengan memberi keutamaan kepada golongan miskin tegar termasuk berpendapatan rendah tanpa perlu memansuhkan BR1M.

Advertisement

“Namun, jika keputusan tersebut tetap dilaksanakan maka kerajaan persekutuan perlu ada mengambil pendekatan baharu dalam membantu kumpulan sasaran berkenaan.

“Ini kerana, saya tidak melihat elemen rasuah dalam BR1M memandangkan aspek pemilihan penerima bantuan itu tidak mengambil kira fahaman politik,” katanya.

Fatimah menambah, daripada menghapuskan BR1M, kerajaan pyersekutuan sewajarnya menambah baik sistem pengagihan bantuan tersebut.

“Pastikan hanya golongan yang benar-benar layak sahaja yang menerima BR1M ini kerana bantuan itu sedikit sebanyak boleh membantu meringankan beban hidup kumpulan sasar tersebut,” katanya lagi.

Berdasarkan rekod, BR1M mula diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2012.

Semua penerima BR1M dinilai berdasarkan kriteria pendapatan bulanan isi keluarga tanpa mengira fahaman politik.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik sebagai berkata, pemberian BR1M adalah satu bentuk rasuah dan ia menjadi sebab mengapa kerajaan persekutuan bercadang menghapuskannya.

Tegasnya, bantuan tersebut tidak diagihkan secara sekata dan kepada kelompok sewajarnya sebaliknya memberitahu, ia diberikan semata-mata mahu mendapatkan sokongan rakyat. — DayakDaily

Advertisement