Keperluan air bersih di DUN Lingga diberi perhatian — Simoi

Simoi (tengah, tujuh dari kiri) bersama para penari pada Majlis Gawai Raya Peringkat DUN Lingga.

SRI AMAN, Julai 10: Keperluan air bersih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga terus mendapat perhatian daripada kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri berkata, ia terbukti apabila Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi menaik taraf saluran paip khususnya di Maludam.

Katanya, menerusi peruntukan itu, beliau yakin rakyat di sekitar kawasan Maludam akan dapat menikmati kemudahan bekalan air bersih yang lebih baik kelak.


“Kita sangat gembira apabila Ketua Menteri telah mengumumkan peruntukan RM2.5 juta bagi menaik taraf kemudahan saluran paip di kawasan kita.

“Kelulusan peruntukan tersebut membuktikan kerajaan negeri pimpinan GPS sentiasa bekerja untuk rakyat meskipun sudah meninggalkan Barisan Nasional (BN),” katanya pada Majlis Gawai Raya Peringkat DUN Lingga di Dewan Suarah Sri Aman.

Simoi menambah, rakyat di negeri ini juga harus maklum bahawa GPS adalah parti yang mentadbir kerajaan negeri pada masa sekarang.

Ujarnya, GPS juga akan terus membawa pelbagai kemajuan serta pembangunan kepada semua rakyat selagi diberi mandat oleh rakyat.

“Justeru, berilah sokongan kepada Ketua Menteri serta para pemimpin GPS dalam usaha mereka mendapatkan semula hak-hak rakyat Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita percaya atas semangat juang tinggi perkara tuntutan hak Sarawak akan dapat diselesaikan berlandaskan pembentukan Malaysia melalui MA63,” katanya. — DayakDaily