Kepercayaan diberikan untuk bantu rakyat bukan lari selepas menang

Datuk Snowdan Lawan

KUCHING, 7 April: Kepercayaan diberikan rakyat kepada pemimpin bererti mereka mengharapkan pemimpin tersebut dapat membantu mereka, bukannya seorang pemimpin yang lari selepas menang dalam sesebuah pilihan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringgin Datuk Snowdan Lawan berkata, tindakkan tersebut bukan sahaja mengkhianati kepercayaan yang diberikan tetapi juga turut mengecewakan rakyat yang memilih pemimpin terbabit.

Beliau berkata, walaupun terdapat khabar angin beliau bakal ditentang Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Masir Kujat, beliau yakin mampu mempertahan kerusi DUN dengan majoriti selesa.

Katanya, beliau percaya Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai sokongan sekaligus mampu memenangi kerusi terbabit pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) akan datang.

Ini kerana menurut beliau rakyat di kawasan DUN terbabit tahu menilai dan mengenali pemimpin yang boleh membawakan pembangunan di kawasan tersebut.

“Sesiapa pun boleh bertanding di DUN Balai Ringgin dan mana-mana kawasan DUN atau Parlimen pun pasti akan ada kumpulan yang akan menyokong kerajaan atau pembangkang.

“Rakyat tahu siapa yang akan mereka pilih untuk mewakili suara mereka di kawasan DUN Balai Ringgin dan kita di PRS dan GPS terbukti mampu membawa pembangunan di Balai Ringgin menerusi pelbagai projek sama ada dalam bentuk Program Tranformasi Luar Bandar (RTP) atau projek-projek pembangunan yang lain,” katanya ketika dihubungi DayakDaily.

Menurut Snowdan, sokongan rakyat terhadap Masir di tiga kawasan DUN di bawah Parlimen Sri Aman iaitu DUN Bukit Bangunan, DUN Simangang dan DUN Balai Ringgin ketika ini mulai berkurang.

Katanya, kekurangan sokongan tersebut mungkin disebabkan kekecewaan rakyat terhadap Masir yang sebelum ini merupakan wakil rakyat dari pihak kerajaan sebelum bertukar dengan menyertai pembangkang.

“Saya percaya rakyat mengenali karekter beliau dan pastinya mereka lebih bijak dalam menilai serta membuat keputusan untuk menentukan siapa pemimpin yang boleh membantu mereka,” katanya. — DayakDaily