Buruh dirompak lelaki bersenjatakan parang di Matang, polis mencari suspek utama

Lim (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan barang-barang kes termasuk gambar suspek yang masih dijejaki.

PADAWAN, 7 April: Seorang buruh kasar dirompak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di sebuah rumah di Taman Juta Ria, Jalan Matang pada pada Sabtu (3 April) lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata mangsa, 20, yang berasal dari Kampung Temenggong, Matang itu semasa kejadian menjaga sebuah rumah yang sedang diubahsuai memandangkan pemiliknya tiada di sini.

Beliau memberitahu, mangsa sekitar jam 2 pagi telah didatangi tiga lelaki tidak dikenali dan terus menahan dan meletakkan parang di lehernya.


“Seorang daripada suspek kemudian mengambil barang-barang berharga milik mangsa dan mereka kemudian terus beredar dengan turut melarikan motosikal milik mangsa.

“Mangsa melihat suspek melarikan diri menggunakan motosikalnya ke kawasan jalan raya utama SMK Matang Hilir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek kemudian terus membuat laporan berhubung kejadian di balai polis berhampiran.

“Bantuan forensik IPK Sarawak dipanggil membantu proses siasatan di tempat kejadian dan motosikal mangsa juga berjaya dijumpai semula di Jalan Batu 6 (Matang),” katanya.

Hasil daripada siasatan polis juga akhirnya berjaya menangkap tiga lelaki berusia lingkungan 20an iaitu di Blok 7 RPR Matang, Taman Sri Makmur, Batu 6 Jalan Matang dan Taman Sri Suria Jaya, Padawan.

Suspek yang masih diburu polis.

“Ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu bersama seorang lagi suspek yang masih bebas bernama Amir.

“Polis kini masih mengesan suspek dengan nama panggilan Amir dipercayai adalah suspek utama dalam kes ini,” katanya.

Lim menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung Amir untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Inspektor Stiffan di talian 014-6750181.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan. — DayakDaily