KOTA SAMARAHAN, 1 Nov: Kepakaran para penyelidik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) diperlukan dalam mengenal pasti potensi-potensi baharu bagi memacu agenda pembangunan Sarawak maju menjelang tahun 2030.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penyelidik Unimas diharap dapat memperbanyakkan penyelidikan dan inovasi yang memfokuskan kepada kemakmuran ekonomi, kelestarian alam sekitar dan komuniti inklusif yang terdapat di Sarawak.
“Semoga hasil penyelidikan dan inovasi yang berimpak tinggi daripada para penyelidik Unimas, dapat dijadikan panduan dan rujukan dalam memajukan Negeri ini,” kata Abang Johari.
Beliau berkata demikian di Sidang 2 Konvokesyen Unimas ke-26 di DeTAR Putra hari ini.
Tambah Abang Johari yang juga Pro Canselor Unimas, membangunkan Negeri terbesar di Malaysia merupakan suatu cabaran yang perlu dilaksanakan.
Katanya, ini khususnya dalam merapatkan jurang di antara kawasan bandar dengan luar bandar.
“Oleh itu, pelbagai projek pembangunan infrastruktur berskala besar seperti rangkaian jalan raya yang baik sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
“Tujuannya adalah untuk membolehkan aktiviti ekonomi dan pelaburan dapat bergerak pantas serta sampai ke kawasan luar bandar yang mempunyai sumber alam yang dapat dimajukan,” kata Abang Johari. — DayakDaily