Yayasan Sarawak teruskan biasiswa untuk pelajar perubatan ikuti kursus lanjutan – Abang Johari

Abang Johari (tujuh dari kanan) merakamkan kenangan bersama kumpulan pertama graduan program perubatan Yayasan Sarawak.

KOTA SAMARAHAN, 1 Nov: Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Sarawak sedia menawarkan biasiswa kepada graduan program perubatan bagi mengikuti kursus lanjutan dalam bidang tertentu.

Premier Sarawak Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia adalah untuk memenuhi keperluan untuk doktor-doktor pakar di hospital di seluruh Negeri.

“Bagi program perubatan, sasaran kita dalam lima tahun ialah mengeluarkan 200 doktor.


“Ini adalah kerana dari sudut nisbah doktor kepada populasi Negeri, angkanya masih rendah.

“Kedua, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ada hospital sendiri dan ini memudahkan graduan perubatan menjalani kursus ‘housemanship’,” katanya di sidang media setelah selesai Sidang 2 Konvokesyen Unimas Ke-26 di DETAR Putra hari ini.

Abang Johari (lima dari kanan) menyampaikan Anugerah Graduan Cemerlang Yayasan Sarawak kepada Eugenius.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 35 penerima biasiswa Yayasan Sarawak bagi program perubatan yang merupakan kumpulan pertama telah menerima Ijazah Sarjana Muda.

Terdahulu Abang Johari yang juga Pro Canselor Unimas telah menyampaikan Anugerah Graduan Cemerlang Yayasan Sarawak bagi tahun 2022.

Eugenius Then Ji Xuan dari Fakulti Perubatan menerima anugerah tersebut bagi kategori bukan Bumiputera manakala Nur Aisyah Johari sebagai penerima bagi kategori Bumiputera. — DayakDaily