Kenapa rakyat tidak diberi pilihan vaksin, soal Tiong

Dato Sri Tiong King Sing
Advertisement

KUCHING, 7 Feb: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato Sri Tiong King Sing mempersoal tindakan kerajaan yang masih tidak membenarkan orang ramai memilih jenis vaksin Covid-19 mereka.

Menurut beliau, ramai yang mengadu terutamanya para ibu bapa dan pelajar yang mengatakan bahawa mereka tidak dapat memilih vaksin jenis Sinovac ataupun Sinopharm keluaran dari negara Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Sebaliknya mereka hanya diberikan vaksin Pfizer sekaligus menyebabkan orang ramai berasa hairan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Advertisement

Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke China terpanggil mempersoal tindakan itu setelah jumlah kes baharu Covid-19 di seluruh negara kini mencecah lebih 10,000 kes.

Tambah beliau, keadaan ini seolah-olah menunjukkan bahawa Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Pfizer mempunyai hubungan yang tidak boleh dipisahkan.

Jika tidak, ujar Tiong, kenapa enggan menawarkan vaksin Sinovac dan Sinopharm kepada rakyat dan ke mana hilangnya hak rakyat untuk membuat pilihan?

“Adakah ini cara berkesan untuk menggalakkan orang ramai menerima vaksin?

“Saban hari kita diberitahu bahawa 99 peratus kes positif Covid-19 adalah dalam kategori ringan dan Khairy serta Ketua Pengarah Kesihatan sedang menangani wabak ini.

“Namun, dari segi pencegahan dan kawalan, boleh dikatakan tiada apa pun yang dilakukan secara serius sehingga kita menyaksikan peningkatan kes positif Covid-19 naik mendadak melebihi 10,000 kes hanya dalam masa seminggu sahaja,” ujar beliau.

Tiong yang juga MP Bintulu turut bertanya apakah tindakan yang diambil oleh kerajaan termasuk pelaksanaan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) berikutan peningkatan kes kini.

“Sekiranya jangkitan ini berpunca daripada pengembara yang pulang dari luar negara sehingga menyebabkan jangkitan dalam komuniti, apa pula tindakan Kementerian Kesihatan khususnya dari segi kawalan pintu sempadan, jalan-jalan tikus dan sebagainya?

“Jika kawalannya baik, kenapa varian Omicron boleh tersebar?”ujar Tiong. — DayakDaily

Advertisement