Kemudahan awam akan disediakan untuk pengunjung di Telok Melano

Jamilah (kiri) bersama rombongan membersihkan kawasan di tepi pantai Telok Melano.

Oleh Dean Adam

SEMATAN, Feb 7: Kemudahan awam seperti tandas awam, tempat letak kereta dan tempat berniaga merupakan salah satu initiatif yang akan dibina bagi memastikan keselesaan kepada para pengunjung yang datang untuk melihat sendiri keindahan kawasan Telok Melano.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu berkata, beliau telah mengatur pertemuan untuk melakukan perbincangan bersama pihak berkaitan bagi menyediakan kemudahan asas di Telok Melano.


Menurutnya, sambutan luar biasa daripada para pengunjung sempena cuti Tahun Baru Cina lepas ke Telok Melano merupakan satu perkara yang positif.

“Bagaimanapun, sikap segelintir pengunjung yang tidak bertanggungjawab dengan membuang sampah di sekitar kawasan berkenaan sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada industri pelancongan tempatan.

“Sehubungan itu, kita akan menyediakan kemudahan seperti tong sampah, tempat pakir, tandas awam dan sebagainya untuk kegunaan para pengunjung,” katanya di sini hari ini.

Jamilah menambah, beliau amat berterima kasih kepada para pengunjung kerana menjadikan Telok Melano sebagai destinasi pelancongan mereka.

“Untuk memastikan keindahan kawasan pantai dan sumber semulajadi di sini terpelihara, marilah kita bersama-sama menjaga kebersihan di sini,” katanya. — DayakDaily