PADAWAN, 16 Mac: Empat kampung di kawasan Padawan kini dikenali sebagai ‘kampung di atas awan’ dan merupakan kawasan tarikan pelancong, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil.
Justeru katanya, usaha meningkatkan prasarana di keempat-empat buah kampung tersebut akan dipertingkatkan untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.
Empat kampung tersebut ialah Kampung Kiding, Kampung Kekas, Kampung Sibuti dan Kampung Sapit.
“Ia adalah perkampungan yang unik, pada jam 4 atau 5 pagi, kampung-kampung ini akan diliputi kabus dan pengunjung berada di atas paras awan.
“Apa yang penting ialah pengalaman berada di atas awan, pengunjung dapat menikmati keindahan semulajadi di sekitarnya.
“Oleh sebab itu adalah penting bagi kita untuk menyediakan prasarana yang sepatutnya di kampung tersebut,” katanya.
Dr Jerip berkata demikian pada Majlis Penangguhan Taklimat Kapasiti Ketua Masyarakat Ketua Kaum (KMKK) Dan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Kecil Padawan di sini, hari ini.
Tambah beliau yang juga Adun Mambong, jumlah pengunjung yang datang ke ‘Kampung di atas awan’ kini semakin meningkat.
Justeru katanya, penduduk di sekitarnya juga harus mengambil peluang untuk terlibat sama dan ia selaras dengan usaha kerajaan untuk menambah pendapatan penduduk luar bandar.
Dalam pada itu kata Dr Jerip, pihaknya kini sedang berusaha untuk menerbitkan buku atau majalah yang menghimpunkan semua produk pelancongan yang terdapat di kawasan Mambong.
Pada majlis itu, Dr Jerip turut menyampaikan 62 buah alat pemadam api kepada JKKK kawasan mabong untuk kegunaan balai raya masing-masing. — DayakDaily