Kempen ‘Buckle Up Baby!’ dilancarkan untuk meningkatkan kesedaran tentang perlindungan kanak-kanak di dalam kenderaan

Nurhazimah (tengah) bersama Dr Ling (empat dari kanan) dan para perunding perubatan KPJ meletakkan anak patung beruang ke dalam kerusi khas kanak-kanak sebagai simbol cinta, keselamatan dan perlindungan bagi pelancaran Kempen 'Buckle Up Baby!' di KPJ, Kuching.

KUCHING, April 26: Hospital Pakar Kuching (KPJ) akan memberikan kerusi khas kanak-kanak secara percuma yang bernilai RM340 kepada semua bayi yang dilahirkan di hospital berkenaan, bersempena Kempen ‘Buckle Up Baby!’ 2018.

Pengurus besar KPJ, Nurhazimah Mahat berkata inisiatif tersebut yang akan bermula dari April 28 sehingga Mei 31 nanti adalah bagi memastikan bayi pulang ke rumah dengan selamat.

“Apa yang kami mahu tekankan kepada ibu bapa menerusi kempen ini adalah supaya mereka memasang kerusi khas untuk anak-anak kecil ketika membawa mereka di dalam kenderaan.


“Ini adalah langkah keselamatan yang sangat penting kerana kemalangan jalan raya kekal sebagai penyebab utama kemalangan maut bagi kanak-kanak selain membawa kepada kecederaan yang serius atau perubahan jiwa seperti kehilangan anggota badan, kecederaan tulang belakang dan kecederaan kepala,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran Kempen Buckle Up Baby! 2018 di KPJ, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Perubatan KPJ, Dr David Ling turut menggesa ibu bapa agar sentiasa meletakkan anak-anak mereka di kerusi khas ketika membawa mereka dalam kenderaan.

“Sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan, KPJ sangat komited untuk meningkatkan kesihatan serta kualiti kehidupan dalam masyarakat.

“Kami berharap kempen ini akan dapat memberikan kesedaran kepada ibu bapa agar turut mengutamakan keselaman anak-anak kecil mereka ketika di dalam kenderaan dengan menyediakan kerusi khas untuk mereka,” katanya.

Kempen ‘Buckle Up Baby!’ anjuran KPJ adalah program berasaskan komuniti yang bertujuan mendidik ibu bapa serta mempromosi kesedaran awam tentang kepentingan keselamatan penggunaan kerusi khas kanak-kanak.

Ini adalah cara baharu pihak hospital untuk mendekati komuniti selain menyumbang semula kepada masyarakat.

Laporan Institusi Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendedahkan bahawa kanak-kanak yang menaiki kenderaan persendirian (kereta, van dan kereta pacuan empat roda) adalah tersenarai sebagai penyebab utama kematian berkaitan dengan lalu lintas dalam kalangan kanak-kanak yang berusia 1 hingga 4 tahun (43.8 peratus) dan 5-9 tahun (30.2 peratus).

Penggunaan tali pinggang dan kerusi khas kanak-kanak adalah salah satu daripada tindakan penting yang boleh dilakukan bagi mengelakkan kecederaan sekiranya kenderaan terbabas.

Statistik yang diterbitkan oleh Laporan Status Global mengenai keselamatan jalan raya (Pertubuhan Kesihatan Sedunia – WHO) menunjukkan pemasangan dan penggunaan tali pinggang yang betul serta kerusi khas kanak-kanak mampu mengurangkan kematian dalam kalangan bayi dengan anggaran sebanyak 70 peratus dan bagi kanak-kanak berusia 1 tahun ke atas dalam lingkungan 54 peratus dan 80 peratus. — DayakDaily