Kemeriahan Chap Goh Mei bertukar duka, lelaki maut dalam kemalangan

Kelihatan lokasi kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dan pejalan kaki.

Oleh Dean Adam

SERIAN, Feb 19: Kemeriahan sambutan Chap Goh Mei bagi sebuah keluarga pasti bertukar duka apabila seorang lelaki warga emas maut selepas dirempuh sebuah kenderaan jenis Honda CRV di KM48, Jalan Kuching-Serian, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 petang itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenalpasti sebagai Then Sin Choy, 67.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian sebuah Honda CRV yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Kuching ke Serian.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kemalangan, mangsa yang dikatakan secara tiba-tiba melintas jalan telah dirempuh kenderaan itu.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak dan cedera parah di kepala dan patah kaki kanannya.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian selepas itu,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson menambah, pemandu yang tidak mengalami sebarang kecederaan itu telah dirakam keterangannya bagi membantu siasatan kes.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serian untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily