Kembangkan inisiatif pelancongan bertanggungjawab di seluruh negeri — Abdul Karim

Abdul Karim (dua kiri) mengimbas tapak tangan pada skrin sebagai simbolik pelancaran Inisiatif Pelancongan Bertanggungjawab di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Oktober: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mahu inisiatif pelancongan bertanggungjawab dikembangkan di seluruh negeri.

Katanya, inisiatif ini mesti dilaksanakan pihak-pihak berkaitan dengan industri pelancongan dalam tempoh tiga tahun bermula dari sekarang.


“Inisiatif ini harus melibatkan hotel-hotel, restoran, pusat membeli-belah dan juga sekolah,” katanya pada majlis pelancaran Inisiatif Pelancongan Bertanggungjawab di sini, hari ini.

Inisiatif Pelancongan Bertanggungjawab dianjurkan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan kerjasama ‘Worming Up’, iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Enam hotel terlibat di dalam penganjuran inisiatif kali ini, iaitu Hotel Hilton, Riverside Majestic, Merdeka Palace, Grand Dormani, Kuching Park dan Hotel UCSI.

Wakil-wakil dari hotel yang terlibat dalam Inisiatif Pelancongan Bertanggungjawab merakamkan kenangan bersama Abdul Karim (berdiri tiga kiri).

Tambah Abdul Karim, pelancaran inisiatif itu melakar satu lagi sejarah di dalam industri pelancongan Sarawak kerana semua pihak berusaha untuk memulihara keindahan alam semulajadi.

Pelancongan bertanggungjawab, katanya, menyumbang kepada pemuliharaan warisan budaya dan alam semula jadi bagi mengekalkan ekosistem.

“Oleh yang demikian, kita berusaha untuk mendidik komuniti yang terlibat di dalam industri pelancongan agar memahami erti pelancongan bertanggungjawab.

“Sebagai permulaan kepada perjalanan yang panjang ini, kita memberi tumpuan pada industri yang mengeluarkan sisa-sisa makanan,” katanya.

Menurut kajian yang dijalankan “Worming Up”, sejumlah 376 metrik tan sisa organik, dan 3.9 metrik tan barang kitar semula telah dikumpul dengan anggaran 50 tan dihasilkan hotel-hotel sehari.

Jumlah itu memberi kesan teruk kepada alam sekitar dan sisa makanan yang dikeluarkan ini menjadikan negara pengeluar gas rumah hijau ketiga terbesar dibelakang China dan Amerika.

Justeru, Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan menggesa semua yang terlibat memahami perkara ini dan kesannya jika tidak diuruskan dengan baik.

Menurut kajian yang dilakukan Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA), kedatangan pelawat ke rantau Asia Pasifik bakal meningkat kepada 760 juta pada tahun 2021.

“Kedatangan pelawat ini sudah tentu akan meningkatkan jumlah pengambilan makanan. Ini juga akan menghasilkan sisa-sisa makanan yang sehingga sekarang masih belum diuruskan dengan baik oleh industri pelancongan.

“Jika tidak ditangani, masalah ini akan memberi kesan pada alam sekitar dan mengancam ekosistem,” ujar Abdul Karim.

Turut hadir ketua pegawai eksekutif STB Sharzede Salleh Askor. — DayakDaily