“Kelulusan RUU Pindaan Pelembagaan Sarawak mampu halang orang luar jadi ADUN Sarawak”


KUCHING, 12 Nov: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep menyambut baik Kelulusan Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Pelembagaan Sarawak oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada persidangan sebelah pagi tadi.

Katanya, pindaan terhadap Artikel 16 Pelembagaan Sarawak dilihat mampu menghalang orang yang bukan orang asal Sarawak daripada bertanding dalam pilihan raya negeri seterusnya menjadi wakil rakyat atau ADUN Sarawak.

“Contoh yang diberikan oleh pihak pembangkang berkaitan Claire Rewcastle Brown adalah tidak tepat dan ini memutar belitkan fakta walaupun ibunya adalah orang Sarawak namun ia tidak semudah itu.


“Sebagai rakyat Sarawak ataupun orang yang tinggal diluar dari Malaysia, kamu kena dapat kewarganegaraan Malaysia dan kalau betul warganegara Malaysia perlu dipastikan bahawa dia adalah betul orang Sarawak, kemudian barulah dia dibenarkan untuk bertanding dan seterusnya menjadi wakil rakyat di DUN Sarawak,” katanya selepas sesi perbahasan RUU Perbekalan 2021/2020 di sini hari ini.

Katanya, pindaan tersebut juga tidak menggugat hak autonomi negeri malah ia menetapkan pendirian rakyat negeri ini yang mahukan hanya orang Sarawak mewakili rakyat Sarawak.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku di Pujut berulang lagi dan apa yang berlaku di Sabah berlaku di Sarawak kerana jika kita buka kepada semua orang, susahlah kita, penghujungnya kucar-kacirlah Sarawak,” katanya.

Henry berkata, walaupun Sarawak mempunyai sub-etnik yang banyak namun setiap etnik tersebut mempunyai wakil rakyat yang mewakili mereka di dalam DUN.

Ujarnya, wakil-wakil rakyat ini pastinya mengetahui dan memahami keperluan serta budaya etnik yang diwakilinya .

“Jika kita benarkan setiap suku kaum ini diwakili oleh orang luar ini pastinya ia memberikan kesan negatif terutamanya kepada penduduk di luar bandar.

“Ini kerana wakil tersebut pastinya tidak akan memperdulikan keperluan suku kaum tersebut sebaliknya mereka hanya mahukan undi atau kuasa sahaja,” katanya. — DayakDaily