Anjung Usahawan Kabong dibina dengan peruntukan RM5 juta

Naroden (berdiri depan, tiga dari kiri) merakamkan kenangan bersama peserta program Jom Daftar Perniagaan Kita di Kabong.

KUCHING, 13 Okt: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM5 juta untuk membina Anjung Usahawan Kabong.

Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais berkata, anjung usahawan itu akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Ia bertujuan untuk merancakkan lagi keadaan sosio ekonomi masyarakat di kawasan tersebut.


“Selain itu, bantuan projek Transformasi Usahawan Desa Sarawak (TUDS) untuk peniaga kecil bernilai RM200,000 akan disalurkan melalui Majlis Daerah Saratok,” kata Naroden.

Beliau berkata demikian pada perasmian program Jom Daftar Perniagaan Kita di bawah Program Sarawakku Sayang di Kabong hari ini.

Dalam pada itu, Naroden menjelaskan bahawa masih ramai peniaga di Sarawak belum mendaftarkan perniagaan mereka.

Katanya, terdapat seramai 25,663 penjaja dan peniaga masih belum berdaftar dan tidak mempunyai lesen atau permit.

Justeru katanya, keadaan ini menyukarkan mereka untuk mendapatkan bantuan yang ditawarkan kerajaan termasuk Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Sehubungan itu, Naroden menyeru para peniaga terutamanya usahawan kecil dan sederhana memanfaatkan program Jom Daftar Perniagaan Kita yang dianjurkan.

“Program ini mengajak kita semua yang berniaga mahupun yang ingin berniaga supaya mendaftar diri.

“Ini adalah kerana masih banyak para peniaga dan penjaja kita di luar bandar belum memiliki lesen atau permit berniaga,” ujarnya.

Hadir sama ADUN Kabong Mohd Chee Kadir dan Residen Bahagian Betong Friday Belik. — DayakDaily