Keliru pelaksanaan PKP dengan ‘total lockdown’ antara alasan masih ramai yang tiada permit rentas zon/daerah

Pemeriksaan rapi dilakukan oleh anggota yang bertugas di sekatan jalan raya.

SERIAN, 29 Mei: Kekeliruan berkenaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini punca ramai yang tiada permit rentas daerah atau zon.

Ini kerana, didapati ada di kalangan masyarakat menyangkakan perlaksanaan PKP di negeri ini sama dengan ‘total lockdown’ yang bermula 1 Jun ini seperti yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri semalam.

Susulan itu tinjauan DayakDaily di beberapa sekatan jalan raya hari ini didapati ramai pengguna jalan raya yang terpaksa diarahkan berpatah balik apabila didapati masih tiada memiliki permit daripada polis.


Hari ini Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerusi satu portal berita mengumumkan Sarawak belum putuskan untuk mengikuti kerajaan pusat melaksanakan ‘Total Lockdown’.

Oleh yang demikian setakat ini Sarawak kekal PKP yang bermula hari ini (29 Mei) sehingga 11 Jun  dan permit rentas daerah atau zon daripada polis memang diwajibkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis semasa dihubungi DayakDaily mengesahkan 527 buah kenderaan diperiksa di dua sekatan jalan raya yang didirikan di daerah tersebut.

Daripada jumlah tersebut, seramai 890 orang diperiksa dan rata-ratanya mempunyai kelulusan permit pergerakan dari polis.

“Kebanyakkan pergerakan adalah untuk perkhidmatan perlu, sektor kritikal dan sektor-sektor lain yang dibenarkan dalam SOP PKP Sarawak.

“Bagaimanapun keadaan hari pertama PKP di kedua-dua sekatan jalan raya tersebut  didapati pergerakan lalulintas berkurangan dari hari waktu bekerja,” katanya.

Beliau selain itu mengambil kesempatan untuk menasihatkan seluruh masyarakat khususnya di Bahagian Serian untuk sentiasa mematuhi SOP yang dikeluarkan kerajaan.

“PDRM akan menguatkuasakan SOP dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya berlaku pelanggaran SOP,” tegasnya. — DayakDaily