Kekurangan stok pasport biru masih membelenggu rakyat di Limbang — Hasbi

Hasbi (kanan) menyambut ketibaan Fadillah (duduk) di Lubuk Sigantang bagi merasmikan Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2023. Foto: TVS

KUCHING, 21 Mei: Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah menggesa pihak berwajib menyelesaikan masalah kekurangan stok pasport biru di Limbang.

Menurut laporan TVS, Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, masalah tersebut dihadapi sejak cuti sekolah lepas.

Kata Hasbi, pihaknya menerima banyak aduan berhubung kekurangan dokumen perjalanan terhad itu yang amat diperlukan sebagai dokumen penting untuk urusan keluar dan masuk di sempadan kedua-dua negara Malaysia (Limbang) dan negara jiran, Brunei Darussalam.


“Beberapa perkara yang disuarakan oleh rakyat dan agensi kerajaan di Limbang, besar harapan kami kalau Jabatan Imigresen Limbang ini dapat bangunannya dan pejabat sendiri, selain itu saya juga dihubungi berkenaan kehabisan stok pasport (terhad) berwarna biru,” katanya

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2023 di Kampung Lubok Sigantang, Limbang yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Hasbi memohon agar kerajaan meluluskan projek pembinaan sebuah bangunan untuk menempatkan pejabat Jabatan Imigresen yang baharu di daerah Limbang.

Ujarnya, keperluan permohonan itu berikutan keadaan ruang pejabat sedia ada yang sempit dan tidak selesa untuk dibina di tapak bandar baru Limbang. — DayakDaily