Kekasih Facebook rogol pelajar bawah umur diburu polis

Royal Malaysia Police logo

– oleh Dean Adam

SIBU, Okt 11: Polis Sibu sedang menjejaki seorang lelaki kerana disyaki merogol seorang remaja perempuan bawah umur dalam satu kejadian bulan lepas.

Menurut sumber, kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada Sept 26 lepas sebelum ibu kepada mangsa membuat laporan polis kelmarin.


Katanya, mangsa yang kini berusia 14 tahun dan suspek sebelum itu dipercayai berkenalan menerusi laman media sosial Facebook sejak beberapa bulan lepas.

“Bagaimanapun, suspek dan mangsa disyaki menjalinkan hubungan seks pada Sept 26 lalu sebelum perbuatan terkutuk itu dikesan oleh ibu kepada pelajar Tingkatan Dua berkenaan.

“Berang dengan tindakan anaknya, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya hari ini.

Sumber menambah, mangsa sudah dibawa ke Hospital Sibu untuk melakukan pemeriksaan susulan bagi membantu siasatan berhubung kes rogol itu.

Jelasnya, polis juga memohon maklumat awam sekiranya mengetahui lokasi suspek bagi tindakan segera.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol bawah umur.

“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta sebatan,” katanya. — DayakDaily