Kekalkan kestabilan politik demi pembangunan ekonomi – Wan Junaidi

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Advertisement

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 27 Dis: Suasana politik yang stabil diharap dapat dikekalkan pada tahun hadapan agar ia dapat menjamin kestabilan dan pembangunan ekonomi di negara ini yang lebih mampan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kestabilan ini juga secara tidak langsung akan dapat membolehkan jentera kerajaan melaksanakan apa yang telah dirancang untuk tahun hadapan.

Advertisement

Katanya, ketiadaan kestabilan politik ini akan menyebabkan keadaan ekonomi akan terus suram sekaligus merugikan negara dan rakyat.

“Apabila ekonomi tidak stabil, dengan sendirinya pelabur dari luar tidak akan datang untuk melabur di negara kita dan kalau datang pun mereka akan lebih berhati-hati, “ katanya ketika ditemui selepas melawat Bangunan Angkasa di Jalan Matang di sini hari ini.

Wan Junaidi turut menyeru setiap ahli politik untuk tidak bermain politik pada setiap masa sebaliknya menumpukan perhatian untuk memberikan khidmat kepada rakyat.

Mereka (ahli politik), katanya harus tahu tujuan sebenar mereka untuk menceburi bidang politik selain tidak menjadikan kedudukan politik mereka untuk kepentingan diri sendiri.

“Tujuan politik ini adalah untuk memperoleh kuasa dan kuasa ini untuk mentadbir negara serta memberikan kebaikan kepada kebajikan rakyat.

“Jadi kalau ahli politik terlibat tidak berjaya melakukan perkara itu maknanya mereka belum lagi layak untuk menjadi seorang ahli politik,” katanya. — DayakDaily

Advertisement