‘Kekalahan BN di Puncak Borneo berpunca dari tiada kerjasama daripada jentera parti’

Advertisement

KUCHING, Mei 13: Jentera parti Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong yang tidak digerakkan sepenuhnya, menjadi antara faktor kekalahan calon BN, Jeannoth Sinel di Parlimen Puncak Borneo dalam Pilihan Raya Negeri Ke-14 (PRU14).

ADUN Tarat, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata ia disebabkan oleh tindakan tidak berpuas hati terutama membabitkan individu yang tidak dicalonkan yang kemudiannya enggan memberi kerjasama dalam membantu BN di konstituensi majoriti Bidayuh itu.

“Puncak Borneo merupakan satu kerusi di mana terlalu ramai orang yang mempunyai aspirasi untuk menjadi calon.

Advertisement

“Disebabkan itu, ramai tidak dapat merapatkan barisan dan penyokong mereka tidak bekerjasama dengan BN. Malah, jentera parti di Mambong tidak digerakkan sepenuhnya.

“Kesimpulannya, jentera BN tidak digerakkan sepenuhnya dan tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh,” katanya ketika dihubungi.

Manakala bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sagah berkata mereka memberi tumpuan kepada seorang calon sahaja iaitu Willie Mongin, dan perbalahan tidak ada di antara mereka.

Beliau menambah faktor lain yang tidak memihak kepada BN adalah sokongan yang sangat kecil di kawasan majoriti Cina, di mana pada purata hanya kira-kira 20 peratus sahaja menyokong BN.

Malah, Sagah berkata isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) juga menjadi antara faktor, di mana media digital turut memainkan peranan menyebar dakwaan negatif tentang calon BN.

“Pilihan raya sudah berakhir dan sekarang adalah masa bagi kedua-dua pihak untuk bekerja demi kebaikan rakyat.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Willie di atas kejayaan beliau memenangi kerusi Puncak Borneo,” katanya.

Parlimen Puncak Borneo menyaksikan pertandingan tiga penjuru dalam PRU14 ini, yang dimenangi oleh Willie dengan majoriti 4,005 undi setelah mendapat 18,865 undi menewaskan Jeannoth, yang meraih 14,860 undi manakala calon STAR, Buln Patrick Ribos mendapat 795 undi. — DayakDaily

Advertisement