Penduduk Sarawak digesa jangan khuatir dengan kejadian politik yang sedang melanda negara

Tan Kai (dua dari kiri) menaikkan bendera Persekutuan Nanyang Wushu Sarawak bagi merasmikan Kejohanan Pesta Kung Fu Nanyang Wushu Ke-28 di Crown Tower, Pending, Kuching.

KUCHING, Mei 13: Penduduk negeri ini diminta tidak terlalu khuatir dengan kejadian politik yang sedang melanda negara ini selepas Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) dan perlu kembali meneruskan kehidupan seharian mereka seperti biasa.

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Tan Kai berkata tiada gunanya rakyat Sarawak terus terlalu memikirkan mengenai perkara politik selepas pilihanraya terbabit yang hanya akan menyebabkan mereka saling terus bertelagah serta menyalahkan antara satu sama lain.

“Tiada gunanya saling terus menyalahkan sesama kita, menyalahkan jiran, pemimpin atau menyalahkan kerajaan. Cuba jadi diri kita sendiri dan terus bersatu padu serta bersikap positif, kerana sebagai rakyat jelata kita perlu terus mencari makan dan fokus kepada kehidupan seharian,” katanya ketika mewakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Professor Datuk Dr Sim Kui Hian merasmikan Kejohanan Pesta Kung Fu Nanyang Wushu Ke-28 anjuran Persekutuan Nanyang Wushu Sarawak di Crown Tower, Pending, di sini, hari ini.


Sehubungan itu, Tan Kai memuji kalangan ibu bapa yang sanggup menemankan anak mereka menyertai acara terbabit dan tidak melupakan hura-hara politik yang sedang melanda seluruh negara ini terutama di Kuala Lumpur dan Sabah.

“Kalau kita terlalu mengikuti perkembangan politik terbabit dalam media dan laman sosial Facebook, ini hanya akan menyebabkan kita kurang tidur malam sahaja,” katanya, sambil menambah cuti sekolah sempena pilihanraya lepas juga sudah berakhir dan esok sekolah akan dibuka semula.

Beliau bagaimanapun berharap penduduk negeri ini tanpa mengira agama dapat sama berdoa supaya hari esok yang mendatang keadaan akan menjadi lebih baik dan membolehkan mereka kembali fokus kepada kerja atau pembelajaran. — DayakDaily