Kejayaan Sarawak berlandaskan undang-undang dan hak di bawah MA63, bukan desakan ke atas Putrajaya

Fazzrudin Abdul Rahman (file photo)
Advertisement

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 31 Mei: Kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah berlandaskan undang-undang dan hak yang sudah termaktub sebelum dan semasa pembentukan Malaysia.

Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman menegaskan bahawa pencapaian-pencapaian tersebut bukanlah satu desakan terhadap Kerajaan Persekutuan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, tetapi hanyalah tuntutan ke atas hak yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Advertisement

Mengambil contoh pembangunan minyak dan gas di Sarawak, beliau berkata ia mulai diterokai dan diproses di Miri sejak 1902.

“Sudah pasti ketika itu sudah ada undang-undang yang mengawal selia proses ini.

“Satu lagi contoh adalah undang-undang tanah kita yang sudah ada sebelum pembentukan negara lagi. Perlembagaan Malaysia juga memberi kuasa hal ehwal tanah kepada negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Fazzrudin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, berharap agar selepas ini tidak akan ada lagi serangan-serangan tidak berasas, tanpa usul periksa dan tanpa kajian ditujukan kepada kepimpinan Kerajaan Sarawak.

“Kita harus kekal bersatu padu dan bertindak berlandaskan undang-undang.

“Saya yakin Kerajaan Persekutuan juga akan berbincang dan memberi respons berlandaskan undang-undang kerana sebahagian daripada tanggungjawab mereka adalah untuk membangunkan negeri-negeri di dalam negara ini.

“Sarawak sudah berada bergerak pantas dan berada di landasan yang betul dari sudut pembangunan,” ujarnya.

Baru-baru ini, terdapat artikel atas talian yang menyerang dan mengkritik usaha gigih Sarawak untuk maju khususnya dengan penglibatan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam industri minyak dan gas.

Berikutan ini, Abang Johari ketika berucap di suatu majlis di Miri pada 29 Mei, telah menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan bahawa tuntutan yang dibuat oleh Sarawak adalah berdasarkan peruntukan perlembagaan dan MA63. — DayakDaily

Advertisement