Kehamilan remaja, kanak-kanak semuda usia 10 tahun antara yang dilaporkan

A newborn baby. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 29 Jan: Kanak-kanak atau remaja semuda usia 10 tahun antara 34.5 peratus atau 725  kes kehamilan di kalangan remaja dalam lingkungan umur dibawah 17 tahun yang dilaporkan pada tahun lalu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, situasi ini agak membimbangkan walaupun terdapat penurunan trend kes kehamilan kalangan remaja direkodkan di Sarawak bagi tempoh 2014 hingga tahun lalu (2020).

Ini kerana kata beliau, remaja pada usia tersebut masih belum matang  dan bersedia sepenuhnya untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada bayi yang dikandungnya sejurus ia dilahirkan kelak.


“Jumlah ini walaupun kecil berbanding jumlah kes yang direkodkan bagi remaja lingkungan umur 18 hingga 19 tahun (1,734 Kes) bagi tempoh sama tahun lalu, namun ia secara tidak langsung menyumbang kepada masalah lain seperti keciciran  remaja terbabit dari segi pendidikan dan pelajaran sekaligus memberi kesan kepada masa depan remaja terbabit,” katanya pada sidang media One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) di sini hari ini.

Fatimah berkata, situasi tersebut secara tidak langsung turut menyumbang kepada peningkatan jumlah remaja hamil yang tidak lagi bersekolah.

Katanya, pada tahun lalu, jumlah peratusan remaja hamil tidak bersekolah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.77 peratus kepada 96.17 peratus berbanding 95.4 peratus pada 2014.

Fatimah berkata, pengetahuan seks yang rendah, pergaulan bebas dan pendedahan terlalu awal terhadap media sosial di kenalpasti sebagai antara faktor utama yang menjadi punca kepada situasi berkenaan.

Pada masa sama katanya, kawalan yang longgar daripada ibu bapa remaja terlibat, penyalahgunaan dadah dan substance, keciciran pelajaran, dan kurangnya pendidikan agama serta nilai moral membuatkan remaja terlibat tiada arah tuju sekaligus memudahkan mereka terjerusmus ke dalam pemasalahan terbabit.

Justeru tegas beliau, usaha lebih holistik perlu dilakukan dengan mensasarkan kepada pemerkasaan institusi kekeluargaan serta memberikan kesedaran kepada komuniti serta masyarakat mengenai isu kehamilan kalangan remaja.

“Isu ini perlu ditangani dengan secara komprehensif dan bersepadu kerana isu kehamilan remaja terutamanya melibatkan remaja semuda usia 10 tahun merupakan isu yang kompleks dan rumit dan melibatkan banyak pekara termasuk isu keagamaan, pendidikan, nilai, budaya, stigmatisasi serta sistem sokongan sosial,” katanya. — DayakDaily