KUCHING, April 29: Pelantikan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin sebagai pengarah operasi di Parlimen Puncak Borneo adalah penghinaan Barisan Nasional (BN) terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Puncak Borneo, kata Willie Mongin.
Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen Puncak Borneo itu menjelaskan ia seolah-olah menunjukkan ADUN di Puncak Borneo tidak cerdik dan tidak pandai untuk menguruskan operasi pilihan raya bagi BN.
Parlimen Puncak Borneo merangkumi tiga kawasan DUN iaitu Tarat, Mambong dan Serembu yang masing-masing diwakili oleh Datuk Roland Sagah Wee Inn, Datuk Dr Jerip Susil dan Miro Simuh daripada BN.
“Ya betul, beliau adalah seorang menteri tetapi tidak adakah orang di kawasan Puncak Borneo yang pandai untuk menguruskan operasi pilihan raya bagi BN sedangkan Sagah, Dr Jerip dan Miro sama pandai dan layak dilantik sebagai pengarah operasi BN in Puncak Borneo.
“Pelantikan Manyin seolah-olah menghina kecerdikan ADUN di kawasan Puncak Borneo. Ia juga menunjukkan beliau tidak ada keyakinan terhadap kepimpinan Sagah, Dr Jerip dan Miro,” katanya.
Willie menambah Manyin yang juga ADUN Tebedu sepatutnya membantu Datuk Seri Richard Riot di Serian kerana Tebedu adalah di bawah kawasan Parlimen Serian.
Justeru, beliau menyeru rakyat di kawasan Parlimen Puncak Borneo agar mengambil tindakan dengan mengundinya sebagai tanda bantahan kepada keegoan pemimpin Bidayuh dalam BN itu.
Willie berdepan dengan calon BN, Genot@Jeannoth Sinel dan calon STAR, Buln Ribos di Parlimen Stampin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini. — DayakDaily