Pengundi Stampin digesa kembali ke pangkuan BN supaya dapat menerima lebih banyak peruntukan

Dr Sim (tengah) menyampaikan hadiah kepada kanak-kanak yang menyertai aktiviti Program Semarak Perpaduan Komuniti Sempena Sambutan Minggu Perpaduan di Dewan Masyarakat Kampung Semeba.

KUCHING, April 29: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mahu penduduk bandaraya ini dalam Parlimen Stampin kembali menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) ini supaya lebih banyak peruntukan dari kerajaan dapat disalurkan kepada mereka seperti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Presiden SUPP dan calon BN Parlimen Stampin, Professor Datuk Dr Sim Kui Hian berkata demikian berikutan pada PRU13, Parlimen Stampin di bandaraya ini telah jatuh ke tangan pembangkang dan sejak lima tahun lepas kawasan itu kurang menerima peruntukan kerajaan sehinggalah dua tahun lepas pada pilihanraya negeri beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa dan Lo Khere Chiang juga dari parti itu menjadi ADUN Batu Kitang yang sebahagian kawasan Parlimen terbabit.

“Ini menyebabkan Lo (Khere Chiang) sahaja sudah memberikan sehingga RM2.3 juta (peruntukan dari kerajaan), walaupun baru dua tahun menjadi ADUN (Batu Kitang). Sebelum itu selepas kekalahan (calon BN Parlimen Stampin pada PRU13) Datuk Yong Khoon Seng, penduduk kawasan (Parlimen Stampin) ini hanya melihat sahaja (kawasan Parlimen lain menerima peruntukan kerajaan),” katanya di Majlis Perasmian Program Semarak Perpaduan Komuniti Sempena Sambutan Minggu Perpaduan di Dewan Masyarakat Kampung Semeba, di sini, hari ini.


Dr Sim juga mendedahkan walaupun Ahli Parlimen pembangkang tidak diberikan peruntukan kerajaan, mereka sebenarnya ada menerima gratuiti sebanyak RM250,000 bagi selama sepenggal menjadi wakil rakyat yang boleh digunakan sebagai peruntukan bagi membantu penduduk Parlimen terbabit tetapi wakil rakyat pembangkang kawasan itu tidak melakukannya.

“Jadi pada PRU14 akan datang ini kamu (penduduk bandaraya ini di Parlimen Stampin) ada peluang mempunyai dua enjin (bagi penyaluran peruntukan kerajaan) iaitu melalui ADUN dan Ahli Parlimen BN,” katanya.

Dr Sim (tengah) di sambut penduduk DUN Batu Kitang ketika merasmikan Program Semarak Perpaduan Komuniti Sempena Sambutan Minggu Perpaduan di Dewan Masyarakat Kampung Semeba.

Sehubungan itu, beliau mahu penduduk bandaraya ini termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang menyokongnya menjadi Ahli Parlimen Stampin pada pilihanraya ini dan seterusnya membolehkan beliau menjadi enjin kedua kepada penyaluran peruntukan kerajaan kepada penduduk kawasan Parlimen itu.

Malahan sebelum ini pada 2016, Dr Sim juga sudah ada memberikan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi membantu penduduk DUN Batu Kitang di Kampung Semeba bagi membina dewan masyarakat mereka dan berazam memberikan lagi peruntukan bagi membina siling dewan itu bagi mengurangkan kepanasan berada di dalamnya.

“Disamping itu, kemenangan calon BN bukan sahaja penting di kawasan Parlimen Stampin malahan kawasan Parlimen di seluruh Sarawak kerana Perdana Menteri sudah menyatakan mahu mengembalikan hak dan hasil minyak negeri ini dan ini juga boleh mewujudkan lebih banyak enjin (penyaluran peruntukan kerajaan),” katanya.

Katanya hasil minyak negeri ini yang menjadi keuntungan Petronas sahaja mencecah RM15 bilion tahun lepas dan keuntungan terbabit sekiranya dikembalikan kepada negeri ini bukan sahaja membolehkan dewan Kampung Semeba terbabit dipasang siling malahan juga boleh dipasang alat penghawa dingin bagi mengurangkan kepanasan di dalamnya. ā€” DayakDaily