Kebakaran punca kebocoran saluran paip di Simpang Bekenu

Gambar komposit menunjukkan keadaan kebakaran di Simpang Bekenu yang mengakibatkan gangguan pada bekalan air.

KUCHING, 26 April: Masalah gangguan bekalan air di kawasan Bekenu di Miri adalah disebabkan kebocoran pada saluran paip lencongan sementara di kawasan berkenaan.

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dalam satu kenyataan berkata, masalah yang dialami sejak dari petang semalam sehingga ke hari ini berlaku akibat kebakaran di Simpang Bekenu.

“Cuaca panas yang melanda kawasan Bekenu Miri telah menjadi punca berlakunya kebakaran di Simpang Bekenu yang mengakibatkan kebocoran pada saluran paip lencongan sementara di kawasan berkenaan.


“Seluruh kawasan di Daerah Kecil Bekenu sehingga ke kawasan pesisir Bekenu mengalami gangguan bekalan air sejak dari petang semalam sehingga ke hari ini,” kata JBALB.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak kontraktor Lebuhraya Pan Borneo telah dimaklumkan agar kerja-kerja baik pulih dijalankan dengan segera bagi mengelakkan ketiadaan bekalan air yang berpanjangan di kawasan Bekenu.

Dalam pada itu katanya, penghantaran bekalan air ke kawasan yang terjejas oleh pihak JBALB Bahagian Miri turut dilakukan bagi memastikan keberlangsungan aktiviti harian penduduk dapat dijalankan.

“Pihak kami berasa kesal di atas segala kesulitan yang timbul dan amat menghargai kesabaran yang tinggi daripada para pengguna,”ujar JBALB.

Segala perkembangan terkini akan sentiasa dimaklumkan kepada pengguna melalui platform sosial media JBALB Sarawak. — DayakDaily