Kebakaran awal pagi musnah rumah di Jalan Tiong Hua, Sibu

Kelihatan api marak meranapkan rumah tersebut.

SIBU, 13 Mei: Sebuah rumah di Jalan Tiong Hua, di sini dilaporkan terbakar sekitar jam 4.58 pagi hari ini (Khamis).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata laporan yang diterima mengatakan sebuah rumah kediaman berstruktur tidak kekal telah terbakar sepenuhnya.

Menurutnya anggota dari Balai Bomba Sibu Sentral terus ke lokasi dan berjaya mengawal kebakaran pada jam 5.38 pagi.


Kesemua penghuni rumah dilaporkan berjaya menyelamatkan diri semasa kebakaran tersebut berlaku.

Bagaimanapun maklumat penghuni rumah belum diperolehi kerana ada daripada mereka sudah berpindah ke rumah saudara terdekat.

Hadir sama di lokasi kejadian ialah anggota dari Balai Bomba Sungai Merah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sarawak Energy Berhad.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.