‘Keadaan senyap mungkin bermakna pengundi sudah membuat keputusan’

Datuk Peter Minos
Advertisement

KUCHING, Feb 7: Pengundi di negeri ini berkemungkinan sudah membuat keputusan mengenai siapa yang akan disokong mereka pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) walaupun tarikh sebenarnya masih belum lagi diketahui.

Penganalisa politik Datuk Peter Minos membuat andaian tersebut berikutan orang ramai di negeri ini kelihatan sedikit senyap mengenai pilihanraya berkenaan dan tidak seperti pilihanraya yang lepas dan ini menjadi petanda kepada kemungkinan tersebut.

“Bagi pengundi, mereka sedang menunggu (tarikh pilihanraya). Kali ini orang ramai sedikit senyap, tidak seperti sebelum ini. Kemungkinan ramai sudah membuat keputusan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.

Advertisement

Peter juga tidak menolak kemungkinan orang ramai sedikit senyap kali ini disebabkan sudah biasa dengan isu-isu utama yang telah dibangkitkan parti politik bagi meraih sokongan mereka.

Katanya Barisan Nasional (BN) dilihat sentiasa yakin menghadapi pilihanraya ini kerana ekonomi negara sedang meningkat dan semakin pulih dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) meningkat serta matawang ringgit sedang melihat waktunya bertambah baik.

“Penganalisa ekonomi juga sedang memainkan lagu yang seirama dengan BN dan begitu juga dengan agensi penarafan antarabangsa,” katanya.

Manakala pembangkang pula kelihatan sedang menaruh harapan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membantu mereka dan juga terhadap isu 1MDB yang kerap dibangkitkan. Namun kerana tiada sebarang pencapaian bagi ditunjukkan, pembangkang dijangka akan perlu terus membangkitkan perkara negatif mengenai BN, kata beliau.

Minos juga menjangkakan medan pertarungan kedua pihak pada pilihanraya ini akan lebih ketara di Semenanjung kerana bagi Sarawak, BN boleh berharap kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi memenangi semua kerusi Parlimennya, disamping Parti Rakyat Sarawak (PRS) juga boleh melakukan perkara sama tanpa ada banyak kebimbangan. — DayakDaily

Advertisement