Keadaan banjir semakin pulih, jumlah mangsa menurun kepada 521 orang

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak membantu mangsa banjir.

KUCHING, Feb 11: Musibah banjir di Sarawak hari ini semakin pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara turun kepada 521 orang setakat pukul 8 malam ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Mejar Ismail Mahedin berkata, kesemua mangsa daripada 126 keluarga itu masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara.

Menurut beliau, terdapat dua bahagian yang masih terjejas dengan bencana banjir iaitu di Mukah dan Bintulu.


“Bintulu merekodkan jumlah paling ramai mangsa iaitu 489 orang daripada 113 buah keluarga.

“Manakala di Mukah seramai 32 mangsa daripada 13 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ismail menambah, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak turut melaporkan 13 klinik terjejas akibat banjir dengan empat buah tidak beroperasi.

“Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak juga melaporkan terdapat 22 sekolah ditutup akibat banjir,” ujarnya lagi. — DayakDaily