Kastam Sibu hidu taktik tutup kanvas, rampas 760,000 batang rokok

Kelihatan kotak rokok yang dibungkus dengan plastik hitam.

Oleh Dean Adam

SIBU, April 17: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sibu telah melakukan rondaan di kawasan Lanang sebagai satu aktiviti harian, semalam.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Dato’ Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, semasa rondaan, pasukan Kastam telah melawat jeti yang dikatakan sebagai tempat untuk menghantar barangan ke kawasan Song dan Kapit.

Bagaimanapun katanya, hasil pemeriksaan mendapati ada bungkusan mencurigakan yang bertutup kanvas.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kotak yang dibungkus dalam plastik hitam yang di dalamnya adalah ‘outer’ rokok yang dicantum untuk mengelakkan rupa ‘outer’ rokok dikenalpasti,” katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, jumlah rokok yang dirampas adalah sebanyak 760,000 batang dan jangkaan nilai sebanyak RM38,000.

“Anggaran duti yang terlibat adalah sebanyak RM505,400.

“Barangan rampasan telah dibawa ke pejabat Kastam Sibu untuk siasatan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily