Kastam Sarawak rampas minuman keras pelbagai jenama di Miri

Kelihatan minuman keras pelbagai jenama yang dirampas.

Oleh Dean Adam

MIRI, April 17: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak sekali lagi berjaya melakukan serbuan dan merampas minuman keras pelbagai jenama di sebuah premis di Centrepoint Commercial Centre, Miri, semalam.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Dato’ Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang itu, pihaknya telah menemui sejumlah 755.63 liter minuman keras pelbagai jenama.


Katanya, penemuan tersebut melibatkan nilai sebanyak RM3,314.79 dengan anggaran jumlah cukai RM11,808.61.

“Seorang suspek telah ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat dibawah seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya di sini hari ini.

Sharifah Halimah menambah, jika disabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

“Setakat ini, kes berkenaan masih lagi dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily