Kastam Sarawak rampas sarang burung bernilai RM2.108 juta

Kelihatan kotak mengandungi sarang burung yang dirampas.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Dis 29: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar sarang burung yang telah diproses dan bernilai RM2.108 juta dalam satu operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada Jumaat.

Menurut Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha dalam satu kenyataan media hari ini, kejayaan itu merupakan hasil operasi JKDM menerusi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kuching dan Unit Khas Pemeriksaaan Penumpang Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kuching pada pukul 11.40 malam pada 27 Disember lepas.


Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati terdapat lapan kotak konsaimen di Pusat Outbound Loading Bay Kargo di lapangan terbang tersebut.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan melalui mesin pengimbas ke atas lapan bagasi penumpang tersebut melalui penerbangan Air Asia AK9237 dan Malindo Air OD7605 yang menuju ke Kuala Lumpur dan transit menuju ke Hong Kong.

“Hasil pemeriksaan rapi ke atas bagasi penumpang, pasukan Kastam menjumpai sebanyak lapan karton bersamaan dengan 210.86 kilogram sarang burung yang telah diproses,” katanya.

Tambah Sharifah Halimah, diasatan lanjut mendapati barangan tersebut tidak mempunyai dokumen Borang Kastam 2 (K2), permit Jabatan Veterinari Sarawak dan surat levi daripada Jabatan Perhutanan (Wildlife Protection).

Katanya, semua barangan disita untuk siasatan lanjut, yang mana nilai rampasan barangan tersebut adalah berjumlah RM2.108 juta.

“Modus operandi kes itu ialah sarang burung berkualiti tinggi diseludup keluar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching menuju ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Hong Kong untuk pasaran di luar negara.

“Dagangan diangkut menggunakan bagasi penumpang melalui mod udara bagi mengelirukan pihak berkuasa bagi tujuan mengelak ikrar Borang Kastam 2 (K2), permit eksport dan bayaran levi yang tinggi,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, di mana jika sabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun, atau kedua-duanya sekali. — DayakDaily