Tabung pendidikan tinggi Bukit Saban bakal ditubuhkan pada tahun 2020

Uggah (lima dari kanan) bersama Chuat (empat dari kanan) dan tetamu yang lain memotong kek Krismas pada majlis yang diadakan di Kuching malam tadi.

KUCHING, Dis 29: Tabung pendidikan untuk membantu pelajar-pelajar dari Bukit Saban melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi akan ditubuhkan tahun hadapan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, beliau dan MP Betong Datuk Robert Lawson Chuat akan menyumbang kepada tabung tersebut.

“Chuat dan saya inginkan pelajar-pelajar dari Bukit Saban boleh bersaing dengan yang lain dan kita juga inginkan mereka mendapat pendidikan yang terbaik.

“Dengan pendidikan ini, mereka boleh mendapat pekerjaan yang baik dan meningkatkan tahap kehidupan keluarga.

“Mereka juga akan memainkan peranan penting di dalam pembangunan di Bahagian Betong,” menurut Uggah.


Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2020 yang dianjurkan Belia Bukit Saban di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Tambah Uggah yang juga ADUN Bukit Saban, penubuhan tabung pendidikan itu diputuskan bersama 130 orang penduduk Bukit Saban pada sesi randau yang diadakan pada tengahari kelmarin.

Uggah (depan, memakai jaket kot) merakamkan kenangan bersama tetamu-tetamu di majlis sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2020 yang dianjurkan Belia Bukit Saban.

Dalam pada itu, beliau juga berkata akan membantu para belia Betong yang berbakat di dalam muzik dengan menubuhkan kumpulan band.

Kumpulan pemuzik ini, menurut beliau, akan membuat persembahan di majlis-majlis dan perayaan yang bakal diadakan kelak.

Turut hadir isteri Uggah, Datin Amar Doreen Mayang dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Dr Richard Rapu. — DayakDaily