Kastam Sarawak rampas rokok seludup dengan nilai RM357,500

Oleh Dean Adam

SIBU, Feb 6: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas 500,000 batang rokok putih pelbagai jenama yang tidak lulus cukai di jeti Kapit dan Song Ship Cargo pada Selasa.

Pengarahnya, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, anggaran nilai dan cukai terlibat adalah sebanyak RM357,500.

“Kejayaan itu merupakan hasil daripada maklumat perisikan, sejumlah rokok yang disyaki tidak lulus kastam akan dihantar ke destinasi pedalaman di Sarawak menggunakan kapal kargo.

“Rokok-rokok tersebut dipercayai akan dipunggah menggunakan jeti awam di Jalan Temple Sibu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sharifah Halimah menambah, modus operandi sindiket itu ialah rokok-rokok yang tidak lulus kastam dipercayai diseludup masuk melalui jalan laut dan akan dihantar kepada peruncit-peruncit di kawasan pedalaman seperti Kapit dan Song menggunakan kapal kargo tempatan bagi mengelak daripada dikesan oleh anggota penguatkuasaan.

Katanya, bungkusan-bungkusan rokok tersebut telah diletakkan sementara di kawasan jeti sebelum dimuatnaik ke kapal kargo untuk dibawa ke destinasi seterusnya.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” jelasnya. —DayakDaily