Oleh Dean Adam
MIRI, April 17: Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Miri Sarawak telah menahan dan membuat pemeriksaan rapi ke atas sebuah kontena yang disyaki mengandungi rokok belum lulus Kastam di Pelabuhan Miri, semalam.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Dato’ Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, hasil pemeriksaan ke atas kontena berkenaan, pasukan penguatkuasaan telah menjumpai sejumlah 25,000 karton rokok putih pelbagai jenama.
Jelasnya, ianya bersamaan dengan 5,000,000 batang rokok yang melibatkan duti dan cukai sebanyak RM3,664,672.
“Bagi mengelirukan pihak berkuasa, dagangan tersebut telah diikrar di dalam manifest import sebagai ‘Tissue Houseware’.
“Pada awal pemeriksaan kontena tersebut, terdapat sejumlah kotak tisu diletakkan di hadapan kontena namun setelah diperiksa secara rapi, anggota penguatkuasaan berjaya menemui dan menggagalkan cubaan menyeludup rokok tersebut,” katanya di sini hari ini.
Sharifah Halimah menambah, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen135 Akta Kastam 1967
Ujarnya, jika disabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya.
“Antara lain, orang awam adalah diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah dan juga lain-lain barang larangan seperti rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau talian terus Ibu Pejabat Kastam Sarawak 082-472133 atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran,” katanya. — DayakDaily