Kastam Sarawak gagal cubaan seludup 42 kenderaan mewah bernilai RM10.2 juta

Antara kenderaan mewah yang disita pihak Kastam Sarawak.

Oleh Dean Adam

KUCHING, 3 Jan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 42 buah kenderaan mewah import dengan nilai duti keseluruhan berjumlah RM10.2 juta dari sebuah gudang berlesen menerusi satu serbuan semalam.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha dalam satu kenyataan media hari ini berkata, hasil kolaborasi Cawangan Operasi Darat Ibu Pejabat Kuching dan Cawangan Perindustrian (Pengudangan) Kuching telah membuat pemeriksaan rapi ke atas sebuah premis jualan kereta yang disyaki menyeludup kereta import mewah melalui gudang berlesen.


Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati semua kereta yang terdapat di premis tersebut, pihak syarikat gagal untuk mengemukakan sebarang dokumen yang diperlukan untuk menentusahkan kenderaan tersebut telah berbayar cukai.

“Hasil pemeriksaan rapi ke atas kereta-kereta yang terdapat di premis tersebut, pasukan
berjaya merampas sebanyak 42 unit kereta mewah pelbagai model dan jenama yang belum dibayar cukai kerana melanggar Seksyen 75 Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan media petang ini.

Sharifah Halimah memberitahu, pihaknya turut menahan seorang individu untuk membantu siasatan.

Katanya, modus operandi sindiket itu ialah duti dan cukai kenderaan mewah belum berbayar tetapi siap sedia untuk jualan kepada pengguna dan orang awam.

“Semua kenderaan mewah itu disembunyikan di kawasan pakir rumah ibadat sebagai stor simpanan dengan sewaan tempat sebanyak RM5,000 sebulan.

“Kawasan pakir di sebuah rumah ibadat yang luas di belakang premis jualan kereta itu digunakan bagi mengelirukan pihak berkuasa,” katanya.

Sambil menambah, barangan tersebut disita dan dibawa ke Ibu Pejabat Penguatkuasaan Kuching untuk simpan selamat dan siasatan lanjut.

“Kesemua barangan disita untuk siasatan lanjut dengan nilai barangan rampasan sebanyak RM6.485 juta, manakala jumlah keseluruhan duti atau cukai sebanyak RM10.207 juta,” katanya. —DayakDaily