Kastam rampas rokok tanpa cukai, ada yang disembunyikan dalam tandas

Rokok tidak bercukai disembunyikan di dalam tandas.

Oleh Dean Adam

MIRI, Julai 24: Jabatan Kastam Sarawak berjaya merampas rokok pelbagai jenama menerusi satu serbuan di sebuah kedai di Sungai Tujuh, di sini, semalam.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, berkata dalam serbuan kira-kira pukul 2.30 petang itu, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 23 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, dalam serbuan itu, sebanyak 29,156 batang rokok pelbagai jenama tanpa cukai Kastam telah dirampas.

Rokok tidak bercukai disembunyikan di bawah kaunter.

“Rampasan itu melibatkan anggaran sebanyak RM3,648.32 dan jumlah cukai sebanyak RM21,693.29,” katanya di sini, hari ini.

Sharifah Halimah menambah, siasatan awal mendapati semua rokok yang dirampas belum lulus cukai Kastam.

Katanya, modus operandi suspek ialah menjual rokok yang belum lulus cukai Kastam itu secara haram apabila sebahagian rokok yang dijumpai disembunyikan di dalam tandas kedai berkenaan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“Jika didapati bersalah, individu terlibat akan dikenakan denda 10 kali ganda nilai barang ataupun RM100,000 ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan, dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya. — DayakDaily