Kastam rampas rokok, minuman keras babitkan duti kastam cecah RM13 juta di Sibu

Gambar komposit kontena berisi rokok dan minuman keras yang dirampas dalam operasi tersebut.
Advertisement

SIBU, 31 Julai: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas 27 kontena mengandungi pelbagai jenis minuman keras dan rokok dianggarkan bernilai RM2,547,858 di atas sebuah kapal pada 20 Julai lalu.

Pengarahnya Herman Shah Abdullah berkata Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sarawak telah melakukan pemeriksaan ke atas kapal tersebut yang ditambat di tebingan Sungai Rajang di belakang sebuah bangunan syarikat di Jalan Upper Lanang.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai jenis minuman keras dan rokok disyaki tidak bercukai melibatkan jumlah duti mencecah RM13,388,684.

Advertisement

Tambahnya, seramai lima lelaki termasuk empat warga asing berusia lingkungan 22 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi tersebut untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan kita dapati kapal tersebut masuk melalui muara Sungai Rajang dan memasuki perairan Sibu untuk mengangkut masuk kontena bagi tujuan mengedar barangan ke seluruh Sarawak.

“Dipercayai kesemua barangan tidak berkastam itu dibawa dari luar negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barangan larangan import tanpa permit yang sah serta terlibat dalam mengangkut dan memindah barangan tidak berkastam atau larangan.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang dari sepuluh (10) kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 mengikut manamana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari enam (6) bulan dan tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali. — DayakDaily

Advertisement