Kastam rampas rokok dengan nilai duti hampir RM800,000 di Siburan

Kelihatan rokok pelbagai jenama yang disita Kastam Sarawak.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 5: Jabatan Kastam berjaya menyita sebanyak 1.172 juta batang rokok dengan nilai duti sebanyak RM799,887.60 di Siburan, kelmarin.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata sepasukan pegawai penguatkuasa, bertindak atas maklumat, telah melakukan serbuan ke atas sebuah rumah yang dipercayai dijadikan sebagai stor rokok tidak lulus Kastam di sebuah taman perumahan di Siburan.


Jelasnya, rumah tersebut telah dibuka secara paksa kerana pemilik premis gagal dikesan. Hasil daripada serbuan tersebut, pasukan Kastam telah menjumpai sebanyak 1,172,320 batang rokok pelbagai jenama disimpan di dalamnya.

“Kesemua barangan tersebut kemudian disita untuk siasatan lanjut. Jumlah anggaran nilai barang sitaan adalah sebanyak RM261,560 serta jumlah anggaran amaun duti Kastam yang terlibat sebanyak RM799,887.60,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kelihatan rokok pelbagai jenama yang disita Kastam Sarawak.

Sharifah Halimah menambah, modus operandi kes itu ialah kesemua rokok tidak lulus Kastam tersebut disimpan di dalam rumah di kawasan perumahan bagi mengelak daripada mudah dikesan serta mengelirukan pihak berkuasa.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Jika sabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun, atau kedua-duanya sekali. — DayakDaily